KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa sikap kebanyakan pemimpin UMNO yang berdiam diri daripada bersuara terhadap sesuatu isu melibatkan kerajaan disebabkan kesemua mereka sudah mempunyai fail kes mahkamah.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, perkara itu diketahuinya semasa mengadakan pertemuan dengan beberapa anggota parti berkenaan dalam perjumpaan dengan 120 Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara, di PWTC semalam.
Katanya, perkara tersebut menjadi punca kenapa pemimpin-pemimpin UMNO yang berjawatan ‘sepi’ daripada mengkritik kerajaan kecuali bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.
“Semalam kami dah berbincang, semuanya dah ada fail,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.
Jamal berkata, apa yang berlaku telah menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO tidak berani untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung sesuatu isu.
“Macam mana UMNO nak berfungsi sebagai pembangkang kalau semua dah kena grip masing-masing,” ujarnya.
Terdahulu, Jamal hadir bagi mendengar tiga pertuduhan terhadapnya berhubung dakwaan kes melarikan diri daripada tahanan dan dua kes berasingan kerana menceroboh premis judi.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober untuk sebutan semula kes tersebut ekoran pihak pendakwa masih belum menyiapkan kertas pendakwaan berhubung kes itu. – MalaysiaGazette