Azrol Mansor

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan, isu prasangka kaum tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meredakan suara majoriti atau mengetepikan agenda hak Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Ketua Penerangan Perkasa, Azrol Mansor berkata, kenyataan itu susulan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa prasangka kaum menjadi antara faktor menghalang Malaysia daripada muncul sebagai sebuah negara besar.

Menurut beliau, Perkasa sebagai NGO yang konsisten memperjuangkan hak keistimewaan Bumiputera dan Perlembagaan Persekutuan berpandangan, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks kedudukan hak yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Perkasa menegaskan bahawa, isu prasangka kaum tidak boleh dijadikan alasan atau retorik untuk meredakan suara majoriti atau mengetepikan agenda ketuanan Melayu dan Islam di bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Azrol berkata, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum lain seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukan satu bentuk prasangka kaum.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, perkara itu merupakan sebahagian daripada kerangka Perlembagaan negara yang perlu dihormati.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang keluhan atau perjuangan berkaitan hak ekonomi dan sosial orang Melayu tidak seharusnya dilabelkan sebagai prasangka kaum, cauvinisme atau rasisme tanpa melihat kepada isu sebenar yang dihadapi.

“Menuduh keluhan atau perjuangan sah hak asasi orang Melayu sebagai prasangka kaum adalah satu bentuk ancaman psikologi yang cuba menyekat kebebasan bersuara rakyat majoriti dalam menuntut hak ekonomi dan sosial mereka yang masih tertinggal,” ujarnya.

Menurutnya lagi, isu keadilan ekonomi juga perlu diberikan perhatian serius kerana jurang ekonomi antara kaum perlu ditangani secara telus dan menyeluruh.

Katanya, keharmonian kaum tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan hak yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

“Perkasa sentiasa menyokong keharmonian kaum, namun keharmonian itu tidak boleh dicapai dengan cara mengorbankan hak-hak teras peribumi.

“Kerajaan sepatutnya lebih fokus menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat dan pengagihan kekayaan negara secara adil daripada terus memberi amaran yang seolah-olah menyalahkan sebelah pihak sahaja,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here