SHAH ALAM – Tuah berpihak kepada penyanyi Sarah Suhairi untuk muncul sebagai juara program Big Stage musim pertama yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan Sarah membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.
Pada pentas akhir itu, Sarah yang berusia 18 tahun menyanyikan lagu Awan Terpilu nyanyian asal Ning Baizura dan lagu baharu berjudul Jiwa dan Raga.
Naib juara dimenangi oleh Shafiq Farhain dan tempat ketiga oleh Afieq Shazwan dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Tempat keempat dan kelima menjadi milik Wani Kayrie dan Baby Shima.
Peringkat akhir itu menyaksikan kesemua lima peserta perlu mendendangkan sebuah lagu pilihan dan single terbaharu mereka.
Shafiq Farhain menyampaikan lagu Antara Hujan Dan Air Mata nyanyian asal Sudirman dan lagu baharu, Aku Jatuh Cinta, Baby Shima (Police Entry / Elizabeh Tan, Sirna), Wani Kayrie (Pematah Hati / Nabila Razali, Saat Terindah) dan Afieq Shazwan (Footloose / Kenny Loggin, Darjat).
Kesemua peserta dihakimi oleh dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir serta juri undangan Mas Idayu dan Mark Adam.
Keputusan pemenang ditentukan daripada 70 peratus pemarkahan juri dan 30 peratus undian aplikasi TikTok.
Malam kemuncak itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Alec Benjamin menerusi lagu Let Me Down Slowly.
Big Stage disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan ia dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad. – MalaysiaGazette