Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir, 59, meninggal dunia akibat strok di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, di sini hari ini.
Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir, 59, meninggal dunia akibat strok di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, di sini hari ini.

ALOR SETAR – Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir, 59, meninggal dunia akibat strok di Hospital  Bahiyah (HSB) Alor Setar, di sini hari ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata Allahyarham meninggal dunia pukul 12.15 tengah hari selepas dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lepas.

“PAS Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Rejab di atas pemergiannya dan kita telah kehilangan sebutir mutiara yang amat komited bersama PAS untuk memperjuangkan Islam dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Allahyarham bukan sahaja ilmuan Islam, malah penggerak kepada institusi pondok dan dilantik menjadi Pengerusi Majlis Guru Pondok Kedah (HESA) di samping mengepalai Dewan Ulama PAS Kedah hampir dua penggal,” katanya dalam satu kenyataan.

Solat jenazah akan diadakan di Madrasah Manabi’ Al-Ulum Ad-Diniah, Telaga Batu, Jitra pada pukul 6.00 petang dan jenazah akan dikebumikan di Masjid Gurindam di Mukim Jeram, Jitra selepas itu.

Mohd Rejab sebelum ini dikejarkan ke hospital apabila tiba-tiba rebah di rumah seorang ahli usrah di Jerlun dan doktor mengesahkannya mengalami strok dan ditempatkan di zon merah setelah didapati berlaku pendarahan di kepala.

Pada pilihan raya umum lepas, beliau adalah calon PAS untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh namun dikalahkan oleh calon PKR, Dr Salmee Said dengan majoriti 1,467.

Dr Salmee mendapat 7,265 undi, berbanding calon BN, Ahmad Azhar Abdullah  (5,795) dan Mohd Rejab (5,798).

— BERNAMA