Seorang pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Klang, direman selama lima hari bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima suapan RM1,000 daripada seorang pemilik kilang plastik, semalam.
SSeorang pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Klang, direman selama lima hari bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima suapan RM1,000 daripada seorang pemilik kilang plastik, semalam.

KUANTAN – Seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan memberi rasuah kepada pihak berkuasa supaya tidak dikenakan tindakan kerana mengusahakan kebun sayur di Cameron Highlands, tiga tahun lalu.

Pengakuan Rayhan Shahid, 45, direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Tertuduh yang berasal dari Bogra, Bangladesh didakwa memberi suapan RM5,000 kepada Timbalan Komander Operasi Medan Ops Gading, Sanifah Yusof, 41, sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana mengusahkan kebun di Lembah Bertam, Cameron Highlands.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pada 11 malam, 13 Mei 2015 di Coffee House Hotel Heritage di Jalan Gereja dan pada 10.15 malam, 21 Mei 2015 di Restoran Strawberry Park Resort di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bertubuh tinggi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksye 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin memohon jaminan tidak diberikan terhadap tertuduh atas alasan bukan warganegara, namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, jaminan yang ditawarkan ialah RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Zakuan Mokhtar merayu jaminan diberikan kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya sejak siasatan bermula pada Julai 2015, selain telah menjelaskan jaminan RM30,000 kepada SPRM.

“Setiap bulan, tertuduh yang mempunyai dua orang anak berusia enam dan empat tahun serta seorang isteri yang tidak bekerja akan ke pejabat SPRM di Ipoh, Perak yang terletak kira-kira 70 kilometer dari kediamannya untuk menyambung jaminan.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, tertuduh juga telah 10 kali pulang ke kampung asalnya di Bangladesh. Dia merupakan anak lelaki sulung dalam keluarga dan mempunyai tiga orang kakak, dengan dua daripadanya menghidap kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Bagaimanapun, tertuduh tetap pulang ke negara ini dan seterusnya melaporkan diri ke pejabat SPRM. Dia dimaklumkan akan didakwa di mahkamah menerusi surat pada 1 Ogos lalu, namun masih tidak melarikan diri dan tetap berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat pasport perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Okt depan.

Tertuduh menjelaskan jaminan itu.

— BERNAMA