Wakil UMNO Kedah, Noran Zamini Jamaluddin membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO perlu mengambil sikap bermuhasabah ekoran kekalahan besar yang dialami parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Wakil Kedah, Noran Zamini Jamaluddin berkata, sikap bermuhasabah lebih baik dan ia mampu menyedarkan diri di atas apa yang berlaku daripada mengambil keputusan mengkhianati perjuangan.

“Kalau pun terjadi sesama kita (tewas) janganlah selepas kalah kita mengkhianati parti.

“Kita pernah merai kemenangan bersama-sama pada
PRU11, PRU12 dan PRU13 dengan berpeluk. Tiba-tiba PRU14 kita kalah, kita nak tuding jari ke orang itu dan ini. Tidak cantik macam itu,” katanya pada sesi membawa usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Noran berkata, ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi presiden parti ramai dalam kalangan perwakilan hanya menyokong apa yang diputuskan tanpa mengeluarkan teguran.

Tetapi, selepas beliau bukan lagi memegang pucuk pimpinan ada yang cuba menyalahkan dengan bermacam perkara.

“Tak adillah macam tu. Bila dah kalah ni kita ambil tanggungjawab sama-sama,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noran yang juga Pengerusi Biro Penerangan, Penyelidikan dan Tugas-tugas Khas UMNO Bahagian Pokok Sena menegaskan, langkah yang diambil oleh sesetengah pemimpin UMNO yang melompat keluar parti ketika ini dibuat secara terburu-buru.

Katanya, individu yang bertindak lompat parti boleh memberikan pelbagai alasan untuk mempertahankan tindakan mereka itu namun, mereka mungkin membuat keputusan yang tidak tepat.

“Empat hari lalu kita dengar PPBM di Negeri Sembilan dibubar, kita tunggu sikit hari silap-silap PPBM akan bubar di sembilan negeri lagi,” ujarnya.

Dengan mengambil ungkapan ayat di dalam al-Quran, Noran berkata, tiap-tiap pejuang yang kemudian lari daripada perjuangannya mereka itu akan dihisab oleh Allah diakhirat kelak kerana telah mengkhianati agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette