Gelagat sebahagian murid sekolah selepas tamat waktu sekolah bagi menyambut musim cuti penggal pertama persekolahan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2018.
foto hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mewujudkan jadual cuti persekolahan yang berlainan mengikut negeri sukar dilaksanakan dan mungkin menyebabkan aktiviti keluarga dan program sekolah menjadi huru-hara.

Keadaan itu dikatakan paling merumitkan bagi pelajar yang duduk di Selangor, menghadiri sekolah di Kuala Lumpur, tetapi kampungnya berada di negeri lain.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, beliau belum mendengar apa-apa berhubung cadangan itu, tetapi secara peribadinya, beliau berasa ia sukar dilaksanakan kerana melibatkan banyak pertimbangan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang berkata, kementeriannya telah memanjangkan cadangan kepada Kementerian Pendidikan supaya cuti sekolah ditetapkan mengikut negeri bagi menggalakkan aktiviti pelancongan dan mengelakkan kesesakan di satu-satu destinasi pelancongan.

Setiausaha Agung KeĀ­satuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan berkata, keluarga yang menghadapi situasi “rentas sempadan negeri” bakal berdepan masalah mengatur percutian keluarga jika cuti sekolah berlainan ikut negeri.

Katanya, jadual cuti yang lain-lain juga menyukarkan pihak sekolah menyelaras pelbagai program.

“Seperti dengan cuti umum, cuti sekolah harus sama di seluruh negara” katanya kepada China Press.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt berkata, pertukaran cuti sekolah dan penetapan cuti berbeza mengikut negeri akan memberi impak yang sangat besar.

Katanya, selain memberi kesan kepada “keluarga rentas sempadan” , penetapan cuti yang berlainan juga menyebabkan program dan pertandingan peringkat nasional sukar dilaksanakan.