SSPN
Timbalan Ketua Eksekutif Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail dan kakitangan yang terlibat pada Majlis Pelancaran Kempen #BasDidiSSPN di Digital Durian,Co Place 2, Cyberjaya. foto AFIQ RAZALI, 03 OKTOBER 2018.

CYBERJAYA – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mengunjurkan jumlah kutipan simpanan sebanyak RM600 juta sehingga hujung tahun ini daripada para pendepositnya.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid berkata, sehingga 31 Ogos lepas badan tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM463.7 juta iaitu purata 77.28 peratus jumlah pendeposit.

“Untuk sekarang sehingga 31 Ogos 2018, SSPN dah ada 3.6 juta akaun dengan depositnya yang dikutip sebanyak RM3.8 bilion.

“Untuk tahun 2018 ini, kita menyasarkan bilangan akaun sebanyak 350,000 dan sehingga 31 Ogos lepas kita telah mencapai 434,000 akaun,” ujarnya yang turut menyatakan lebihan sasaran adalah berikutan kerjasama yang dijalinkan dengan Didi & Friends dalam mempromosikan skim simpanan berkenaan.

Mastura berkata demikian pada sidang media pelancaran gambar Didi & Friends dan maskot PTPTN pada bas Rapid sempena Minggu Menabung SSPN 2018 peringkat Nasional di sini hari ini.

MGF03102018_DIDI&SSPN_08
Mastura Mohd Khalid

Dalam pada itu, Mastura berkata, geran sempadan sebanyak RM500 yang diberi kepada pendeposit masih lagi kekal dan tidak terhapus meskipun pentadbiran kerajaan hari ini telah berubah.

Katanya, ia merupakan deposit percuma yang diberikan oleh kerajaan sebagai menggalakkan ibu bapa membuat tabungan untuk masa depan anak-anak mereka di dalam SSPN.

Jelas beliau, peruntukan sebanyak RM250 juta yang disedikan oleh kerajaan bagi tujuan itu adalah termaktub sebagaimana yang diumum di dalam Bajet 2018 lalu untuk 500,000 pelajar yang terawal.

“Sebab kita tahu di dalam negara ada 2.7 juta pelajar dan murid-murid dari darjah satu hingga darjah enam di sekolah rendah.

“Dengan geran sempadan RM500 ini kita ingin menggalakkan ibu bapa membuat simpanan yang konsisten.

“Mereka akan menyimpan sehingga anak mereka sampai masuk universiti,” ujarnya.

Terdahulu, Mastura melancarkan kempen #BasDidiSSPN dalam usaha menyedarkan ibu bapa tentang kewujudan SSPN sebagai pilihan untuk merancang kewangan bagi tujuan pengajian tinggi anak-anak sejak awal lagi.

Sebanyak lima buah bas rapid yang ditampal dengan poster digunakan bagi tujuan kempen berkenaan. – MalaysiaGazette