Anwar Ibrahim
Calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Malam Kebudayaan India sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terkilan sekiranya diumumkan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu sekiranya meraih majoriti 200 undi sahaja.

Katanya, beliau akan menjadi bahan ketawa oleh 221 ahli Parlimen di negara ini sekiranya gagal meraih undi majoriti yang tinggi.

“Saya mahu sokongan penuh pengundi Port Dickson. Saya minta rakan tolong, kalau undi majoriti rendah 200 saya malu. Sebab itu kena tolong undi,” katanya berucap dalam majlis malam kebudayaan India di Dewan Orang Ramai Kampung India Bukit Pelanduk, DUN Chuah.

Dalam pada itu, Anwar menyeru agar pengundi tidak terus selesa dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.

“Menang terima kasih tetapi nanti semua ahli Parlimen ketawakan saya, jadi minta tolong keluarlah undi.

“Sebab apa pada PRK Sungai Kandis, Seri Seri dan Balakong, 50 peratus pengundi tidak keluar mengundi. Ada antara mereka kata PH sudah menang, Tun Mahathir sudah jadi Perdana Menteri, tapi Anwar harus menang,” katanya lagi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar tiba di Dewan Orang Ramai Kampung India Bukit Pelanduk, DUN Chua jam 9.50 malam.

Isterinya Azizah tiba 15 minit selepas itu.

“Saya punya bos sudah sampai,” katanya lagi.

Anwar berkata demikian menunjuk kepada kehadiran isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di majlis sama.

Seperti biasa, Anwar akan memulakan siri ceramah dengan gaya menari dan menyanyi lagu Tamil dengan ditemani aktor seakan pelakon filem Tamil popular, mendiang M G Ramachandran (MGR) yang dipersembahkan oleh penghibur tempatan.

Aksi lincah beliau itu disaksikan lebih 100 warga Kampung India di Bukit Pelanduk. -MalaysiaGazette