Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim terharu apabila Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad turun berkempen dengan memberi ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini.

Katanya, negarawan yang mempengerusikan kerajaan Pakatan Harapan hari ini tidak pernah turun berkempen pada mana mana PRK sepanjang mentadbir negara ini.

“Sebagai pemimpin dan Perdana Menteri dia tidak pernah datang ke PRK. Jadi bila dia turun kali ini, saya rasa kasih yang terpendam selama ini (lebih 20 tahun) menyemarak semula,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Mega PH PRK Port Dickson malam tadi.

Menurut Ketua Umum PKR itu, ini kali pertama beliau berucap di atas pentas sama dengan sahabat lamanya itu.

Katanya, setelah 20 tahun, beliau bersyukur sambil mengulangi kenyataannya bahawa gandingan dengan negawaran berusia 93 tahun itu suatu detik bersejarah.

Beliau turut berkongsi pengalamannya berkhidmat di bawah kepimpinan Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri selain Menteri Kewangan selama lapan tahun.

“Kemudian kami bergelut dan bertarung sengit begitu lama sebelum bersatu. Apabila menemui semula selepas 18 tahun di mahkamah, saya terharu dengan kesanggupan seorang negarawan yang meninggalkan segalanya semata mata bertekad mengajak saya bersama dengannya selamatkan negara dan rakyat.

“Ramai pemimpin dan negara di dunia ini mempunyai ketokohan dan kewibawaan, tetapi dalam keadaan kemelut politik sangat sengit dan getir sebegini kita berjaya lahirkan negarawan yang telah menyelamatkan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, segala institusi serta pentadbiran yang teratur yang diasaskan dan ditinggalkan Mahathir telah dirosakkan kerajaan terdahulu sehingga perlu dipulihkan.

“Maka adalah lebih baik Tun M memimpin Malaysia dan saya sebut ini dengan ikhlas, I know and love him as father and a leader, I accept he is best man to lead Malaysia (Saya tahu dan sayang beliau sebagai bapa dan pemimpin, saya akur dia merupakan orang terbaik untuk memimpin negara).

“Saya pula selaku calon Port Dickson mahu ke Parlimen untuk membantu kerajaan merancakkan jawatankuasa Parlimen dan kerajaan dalam semua aspek bukan jadi ‘rubber stamp’.

“Pemimpin mantap seperti Tun M perlunya sokongan kepimpinan PH dan tuan puan, apa yang berlaku Mei lalu adalah transformasi politik unik dan bersejarah yang tidak pernah berlaku mana mana negara di dunia.

“Yang memenangkan PH seluruh rakyat Malaysia dan mari kita bangkit mengukuhkan semula semangat kekeluargaan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast