Gobind Singh Deo.
Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Hasutan harus dilakukan pada persidangan parlimen akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Gobind berkata beliau akan menggesa bagi moratorium ke atas akta tersebut dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

“PH (Pakatan Harapan) berada di landasan untuk memansuhkan Akta Hasutan. (Peguam Negara) sedang mengusahakannya. Baru semak semula petang tadi,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Beliau juga menyiarkan pautan kepada artikel berita oleh portal dalam talian yang menyatakan para peguam kecewa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dikatakan tidak komited kepada moratorium mengenai akta tersebut sementara menunggu pemansuhannya.

Menurut jadual Dewan Rakyat, persidangan akan datang dijadual diadakan dari 15 Okt hingga 11 Dis.

Awal hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan menetapkan garis masa bagi memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata pemansuhan akta itu akan mengambil masa kerana ia perlu diluluskan oleh parlimen.

“Kami tidak dapat menentukan dengan tepat garis masa itu,…kami tidak dapat mematuhi garis masa itu,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan sebuah buku bertajuk “Tun Ismail Ali – Paragon of Trust and Integrity” di Sasana Kijang di sini.

Pemansuhan akta yang kontroversi itu adalah satu daripada perkara yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang kini menjadi parti memerintah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast