Antara gelagat murid darjah 6 ketika menjawab soalan kertas Bahasa Melayu pada hari pertama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2017.
Antara gelagat murid darjah 6 ketika menjawab soalan kertas Bahasa Melayu pada hari pertama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pasti akan dimansuhkan untuk memberi laluan kepada penilaian yang lebih pelbagai, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Walaupun perkara berkenaan masih dalam kajian, tetapi Maszlee berkata, pemansuhan UPSR akan mengambil tempat pada kadar yang segera.

Beliau juga percaya para guru mempunyai pelbagai idea yang kreatif untuk menilai murid selepas UPSR dimansuhkan.

Katanya, cikgu berkenaan tidak dapat menunjukkan bakat pada masa ini kerana mereka tidak diberi peluang.

“Jika kuasa penilaian diturunkan kepada sekolah dan guru besar, maka saya percaya mereka akan dapat membangunkan kaedah penilaian yang berbagai-bagai.

” Walaupun pemansuhan peperiksaan pasti akan mengundang pertikaian, tetapi kita perlu bergerak ke depan.

“Peperiksaan hanyalah satu alat penilaian, dan terdapat banyak kaedah penilaian yang lain. Cikgu juga merupakan individu yang tahu cara menilai seorang murid,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Kata Maszlee, adalah agak malang apabila Malaysia memberi tumpuan kepada peperiksaan sehingga ia membebankan pelajar, murid dan juga cikgu.

Katanya, negara Maju seperti Finland dan England tidak terlalu menitik berat peperiksaan.

“Kami tahu bahawa masyarakat Timur, khususnya Cina mempunyai sejarah peperiksaan yang lama yang boleh dijejak hingga ke zaman Lao Zi dan Confucius.

” Ya, peperiksaan tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, tetapi ia juga tidak harus menjadi matlamat keseluruhan pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette