Saifuddin Nasution
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa melawat pameran pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Kemasukan Produk Halal PKS dalam pasaran asing dan tempatan sempena Majlis Hari Bersama PKS di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus produk hasil peniaga kecil dan sederhana (PKS) dapat menembusi hipermarket sehingga hujung tahun ini.

Langkah itu bertujuan membantu golongan tersebut dalam memasarkan produk mereka setanding dengan produk antarabangasa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution.

Menurut belau, bagi tujuan tersebut hiperkmarket perlu memberi ruang kepada usahawan PKS dengan tidak terlalu mengenakan syarat yang terlalu ketat.

Bagaimanapun katanya, kementerian akan memberikan bimbingan kepada usahawan PKS berkenaan agar produk mereka mampu menembusi pasaran hipermarket.

“Sebelum ini ada polisi untuk hipermarket yang mana mereka kena beri ruang.

“Kalau hipermarket yang berpotensi antarabangsa, dia sangat cerewet nak terima sesuatu produk. Kalau pembungkusan ala kadar, persembahan tak interaktif atau kualiti produk asal boleh saja, memang tidaklah.

“Mereka (hipermarket) bawa produk antarabangsa. Munasabahlah kalau mereka tak terima dan inilah yang akan kementerian jalankan tugas untuk membimbing mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmi dan melancarkan Program Hari Bersama PKS dan Pelancaran Buku Panduan Kemasukan Produk Halal PKS ke Pasar Raya Besar dan Tempatan Asing di kementeriannya di sini hari ini.

Saifuddin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengadakan perbincangan dengan pihak hipermarket agar produk sesuatu usahawan itu diterima namun produk yang hendak dipasarkan di situ perlulah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh sesebuah hipermarket.

Tambah beliau, sehingga kini lebih 1,169 produk usahawan PKS telah berjaya menembusi hipermarket. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast