Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata bagaimanapun pihaknya akan menunggu sehingga Isnin depan, sebelum semua cadangan mengenai projek tersebut dimuktamadkan.
Madani Sahari

SHAH ALAM – Institut Automotif Malaysia (MAI) hari ini mengesahkan menerima dua cadangan daripada penggiat dalam industri automotif mengenai projek kereta nasional ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata bagaimanapun pihaknya akan menunggu sehingga Isnin depan, sebelum semua cadangan mengenai projek tersebut dimuktamadkan.

“Setakat ini kita terima dua cadangan. Kita belum pasti berapa (banyak) lagi yang (cadangan) akan diterima dan perlu menunggu tarikh akhir pada 15 Okt ini.

“Untuk cadangan tersebut, kita tidak meletakkan apa-apa jangkaan kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja, individu atau syarikat yang berminat untuk kemukakannya, kita akan terima (cadangan mereka),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAI dan Proton di sini hari ini.

MAI diwakili Madani, manakala Proton diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Li Chunrong.

Madani berharap cadangan yang akan dikemukakan pihak berkaitan akan memberi peluang kepada pembekal tempatan untuk terlibat sama dalam membangunkan projek kereta nasional tersebut.

“Penglibatan mereka ini bukan sahaja daripada segi membekalkan komponen (kereta), malah juga bersama-sama dalam kerja-kerja kejuruteraan dan reka bentuk produk berkenaan.

“Pelaksanaan kereta nasional ketiga ini mesti memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada ekosistem, malah untuk ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata penggiat industri automotif dipelawa mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai projek kereta nasional itu selewat-lewatnya 15 Okt.

Darell berkata cadangan itu akan dikaji oleh pelbagai agensi di bawah kementeriannya, termasuk MAI.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan cadangan mewujudkan jenama kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai ‘jenama kereta nasional’ berikutan hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Sementara itu, Madani berkata MOU antara MAI dan Proton bertujuan mengoptimumkan perkongsian sumber dalam membangunkan pembekal bahagian dan komponen kenderaan Proton bagi mencapai standard global.

Katanya, perkongsian sumber itu akan melibatkan beberapa bidang berkaitan termasuk aplikasi rekaan termaju serta simulasi proses digital.

— BERNAMA