Kira-kira 1,700 buah rumah musnah selepas gempa bumi berlaku di Palu, Sulawesi Indonesia pada Jumaat lalu. foto Reuters

PALU – Kerajaan Indonesia yang sangat mementingkan ‘maruah’ kerana tidak mahu terlalu berharap dengan bantuan luar bertindak mengarahkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara asing supaya keluar dari kawasan gempa itu.

Reuters melaporkan, Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia telah mengeluarkan notis melalui laman sosial twiter dengan mengarahkan petugas bantuan asing meninggalkan Pulau Sulawesi terutamanya zon bencana.

Indonesia telah mengenakan sekatan itu terhadap semua aktiviti bantuan oleh petugas bantuan asing.

Jelas notis itu, warga luar yang bertugas dengan NGO asing tidak dibenarkan melakukan apa-apa aktiviti di kawasan yang terjejas.

“NGO asing perlu segera mengeluarkan notis supaya semua aktiviti bantuan segera dihentikan dan tidak ada lagi apa-apa aktiviti selepas ini,” kata notis itu.

Sejak beberapa hari lepas sudah ada aduan oleh NGO asing yang dikatakan sedang berdepan kesukaran untuk mendapatkan permit masuk bagi membawa kakitangan dan peralatan.

Malah rata-rata mereka keliru dengan apa yang sedang berlaku sebelum notis baharu itu dikeluarkan dalam Twitter hari ini namun pengesahan rasmi daripada kerajaan berhubung isu tersebut belum lagi diperolehi setakat ini.

Sama seperti India, Indonesia juga mengamalkan tradisi tidak mahu dilihat terlampau bergantung dengan bantuan asing bagi menangani sebarang insiden bencana yang mana pernah menolak bantuan ketika gempa bumi melanda Pulau Lombok.

Namun, ada sedikit perubahan pada pendirian Indonesia apabila Sulawesi tengah dilanda gempa bumi dengan kekuatan 7.5 magnitud dan tsunami yang mengorbankan 1,948 orang setakat ini.

Angka rasmi kematian di Sulawesi ketika ini sudah meningkat kepada 1,948 orang, dengan kebanyakannya berlaku di bandar Palu.

Agensi Bencana Kebangsaan dalam kenyataan berkata, mangsa yang hilang setakat ini belum diketahui terutamanya di selatan Palu, namun menjangkakan sekurang-kurangnya 5,000 orang. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast