Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad melambai (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Ketua Umum PKR merangkap calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Ahli Parlimen.

Menurut beliau, Anwar perlu menang di Port Dickson bagi membolehkan beliau kembali bekerjasama dengan beliau, sebagaimana 20 tahun lalu.

“Saya harap Anwar akan menang PRK Port Dickson. Saya harap kita boleh bekerja. Untuk negara yang kita sayangi.

“Apabila kita bersatu maka kita dapat kalahkan gergasi itulah kepercayaan kita dan terus dengan pembangunan negara ini,” katanya dalam ucapan Ceramah Mega PRK Port Dickson bersama beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik gerakan utama PH, di Teluk Kemang.

Ini kali pertama Dr Mahathir sepentas secara terbuka dengan bekas timbalannya sejak 1998.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta beberapa ahli Kabinet PH.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau amat gembira turun berkempen untuk Anwar.

“Saya amat gembira untuk kempen kepada Anwar hari ini. Pada 9 Mei sesuatu tidak disangka telah berlaku. Sebuah kerajaan yang memerintah selama 61 tahun telah dijatuhkan,” katanya di hadapan kira-kira 3,000 pengundi Port Dickson.

Mengakui mempuyai hubungan yang tidak baik dengan Anwar sebelum ini, Dr Mahathir berkata, Anwar tidak seharusnya lupa bahawa beliau yang membawa Presiden PKR itu ke dalam arena politik sehingga berjaya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Memang hubungan saya dengan Anwar tidak baik. Tapi jangan lupa dia jadi menteri sebab saya.

“Kalau saya nak fikir berkenan perkara itu tentang apa jadi kepada dia, saya tidak fikir kita boleh bersatu.

“Mereka rela lupakan yang lama dan hadapi dengan yang baru. Saya juga demkian. Kalau saya nak fikir yang lama, macam-macam gelaran kepada saya.

“Mahazalim, diktator dan macam-macam lagi. Apalah sangat dengan panggilan tersebut,” sambil disambut ketawa penonton.

Anwar, Wan Azizah dan juga Mohamad Sabu kelihatan ketawa bersama penonton. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast