KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) hari ini menafikan berita yang mendakwa KPF sedang dilanda masalah dan bakal ditutup, serta penebusan modal syer anggota akan dibekukan.
“Berita tidak benar ini disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab supaya peneroka hilang keyakinan kepada KPF, dan menghasut peneroka agar mengeluarkan pegangan modal syer mereka segera sebelum dibekukan,” kata KPF dalam satu kenyataan hari ini.
KPF berkata sindiket penularan berita palsu itu cuba mengambil kesempatan menawarkan khidmat dan menjadi pengantara bagi urusan untuk menebus modal syer di ibu pejabat KPF dengan mengenakan caj sehingga RM100 kepada peneroka.
Lembaga KPF memandang serius perkara tersebut kerana boleh menjejaskan perniagaan dan nama baik koperasi serta bersedia mengambil tindakan tegas ke atas penyebar fitnah ini mengikut saluran yang sewajarnya.
Peneroka diminta tidak terpedaya dengan berita palsu tersebut, sebaliknya mendapatkan maklumat yang tepat dengan merujuk terus kepada saluran rasmi KPF dan pengurusan rancangan FELDA selain tidak menggunakan khidmat pihak ketiga, katanya.
“Sebagai antara koperasi terbaik negara, lembaga dan pengurusan KPF sedang giat meneruskan usaha mempelbagaikan pelaburan dan perniagaan yang mampu menjana keuntungan yang optimum dan memberi dividen yang baik serta pelbagai perkhidmatan kepada ahli KPF.
“Anggota koperasi wajar memberikan sepenuh kepercayaan dan meningkatkan pemilikan modal syer selaras dengan keputusan mesyuarat agung perwakilan tahunan ke-37 iaitu meningkatkan had modal syer anggota kepada RM2.6 bilion serta mengekalkan peneroka sebagai pemegang utama modal syer KPF iaitu sebanyak 80 peratus,” katanya.
— BERNAMA