Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa percaya gagasan Rahmatan lil alamin’ yang diperkenalkannya menjadi punca beliau berdepan banyak kontroversi sejak kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu sebaliknya menegaskan, beliau hanya membawa gagasan atau konsep yang telah tertulis di dalam al-Quran.

“Gagasan ini al-Quran yang kata. Bukan Mujahid kata, Mujahid ini hendak sampaikan sahaja.

“Konsep dan gagasan Rahmatan lil a’lamin ini bukanlah sesuatu yang baharu. Mesej dakwah dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

“Perlu ingat gagasan inilah yang mendamaikan dua nama besar, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy sebelum ini,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog Menteri Rahmatan Lil A’lamin di Malaysia yang berlangsung di Universiti Malaya di sini malam ini.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) menegaskan beliau tidak pernah mencari kontroversi dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pendakwah antarabangsa Zakir Naik dan isu tiada lagi operasi khalwat.

Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, beliau sesekali tidak mengiktiraf golongan LGBT dan dosa tetap dosa.

Cuma dalam gagasan Rahmatan lil a’lamin, beliau menjelaskan, golongan terutama transgender tidak boleh dizalimi, disakiti sesuka hati dan dipinggirkan dalam masyarakat.

“Tapi muncul golongan selapis yang kini menjadi budaya apabila mengikut satu cara sahaja.

“Isu Zakir Naik pula saya nyatakan berdebat bukan satu-satunya cara berdakwah dalam Islam. Ada berdebat sesuai di negara lain tapi tidak sesuai di negara lain. Saya tidak hina pun sesiapa.

“Isu operasi khalwat saya ditemubual oleh suratkhabar bahasa Inggeris selama 40 minit.

“Tapi saya dan pegawai dengar balik transkrip temubual saya itu, langsung saya tidak sebut operasi dihentikan pada waktu malam dan tiada lagi ketuk pintu.

“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ataupun yang dikatakan ruang awam dengan ruang peribadi dan prosedur operasi standard (SOP) bagi penguatkuasaan aktiviti khalwat akan ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, Mujahid yakin gagasan rahmatan lil a’lamin yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan dapat meningkatkan nilai murni masyarakat dan pentadbiran negara, sekali gus Malaysa menjadi model negara Islam dunia. – MalaysiaGazette