Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefli Ahmad berbual dengan sebahagian Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Jabatan Ortopedik ketika mengadakan mesyuarat tertutup di Hospital Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 SEPTEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiga tahun lepas mendapati 29.2 peratus masalah kesihatan mental dihadapi mereka yang berusia 16 ke atas.

Ini bermakna, 1 dalam 3 orang rakyat di negara ini yang berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, kajian sama oleh KKM pada 2017 mendapati prevalen kemurungan bagi golongan berumur 13 hingga 17 tahun adalah 18.3 peratus.

Malah kata beliau, kajian sama mendapati peningkatan prevalen idea bunuh diri dalam kalangan kumpulan itu adalah 10.0 peratus pada tahun lepas berbanding 7.9 peratus pada 2012.

“Statistik ini sebenarnya sangat membimbangkan. Fokus utama kerajaan ketika ini adalah mempromosikan kesihatan mental dalam kalangan golongan muda dan memberi kesedaran tentang penjagaan kesihatan mental.

“Golongan muda cabarannya berbeza berbanding masa dahulu, fasa-fasa kehidupan segelintir remaja yang sukar, keluar dari rumah demi mencari pekerjaan, kehidupan tanpa kewangan yang cukup dan memulakan kehidupan berkeluarga dan banyak lagi.

“Golongan muda juga tidak terkecuali daripada masalah sosial seperti penyalahgunaan substans, ketagihan, internet, buli selain penderaan fizikal serta mental.

“Semua ini sebenarnya perlu ditangani secara bersepadu. KKM akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan aktiviti kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2018 yang bertemakan ‘Generasi Muda Dan Kesihatan Minda Dalam Arus Perubahan Zaman’ di PICC, Putrajaya hari ini.

Jelas Dr Zulkefly, berteraskan tema itu, pihaknya komited melaksanakan pelbagai promosi, pencegahan, rawatan dan rehabilitasi melalui perkhidmatan yang disediakan di hospital dan klinik kesihatan.

“Kita akan terus berusaha dalam mempromosi masalah ini dalam Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) di peringkat komuniti dan Kospen Plus di tempat kerja yang memasukkan skop kesihatan mental.

“Selain itu, perkhidmatan saringan dan intervensi kesihatan mental disediakan di 948 klinik kesihatan manakala bagi rawatan psikiatri dan rehabilitasi, perkhidmatan diberikan melalui 48 hospital KKM dan 22 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) seluruh negara.

“Tetapi perlu diingat juga, keluarga serta komuniti perlu memainkan peranan membantu memberikan bimbingan, sokongan psikologi, bantuan kewangan dan membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka yang memerlukan rawatan mental yang baik,” ujarnya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast