Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Penglibatan media antara prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasa agama yang akan dikaji semula dalam serbuan khalwat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana SOP ketika ini tidak sempurna dan terdapat unsur salah guna kuasa.

“SOP ketika ini tidak sempurna dan saya mahu penambahbaikan.

“Antara yang akan dikaji, membawa media ketika serbuan sebab kita kata prinsip jangan mengintip, jangan mengaibkan orang.

“Perkara itu antara kita nak baiki,” katanya kepada media selepas Seminar Menteri Rahmatan Lil Alamin di Malaysia di Universiti Malaya di sini malam tadi.

Beliau ditanya sama ada penglibatan media antara SOP baharu penguatkuasa agama ketika serbuan khalwat.

Ketika ditanya adakah jumlah kesalahan pelanggaran SOP serbuan begitu tinggi sehingga perlu penambahbaikan, Mujahid menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai statistik tetapi menerima banyak aduan selama ini.

“Ketika ini di Facebook ada kes ditimbul oleh pasangan sudah kahwin tetapi pihak berkuasa rempuh masuk juga. Kes ini memang berlaku.

“Sebab itu saya tidak faham bila kita hendak perbaiki, ada yang menganggap kita nak biar orang berkhalwat,” katanya.

Mujahid memberitahu, satu pertemuan membincangkan isu serbuan khalwat dengan para ulama akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya malam ini.

Sebelum ini, Mujahid berkata, pelaksanaan dan tatacara hukuman syariah bagi pencegahan khalwat hanya boleh dilakukan selepas proses nasihat, aduan dan bukti kukuh dibuat.

Katanya, pelaksanaan hukum jenayah syariah perlu mempunyai bukti kukuh sebelum tindakan pencegahan boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

“Bila kita mahu kuatkuasakan sesuatu, kena pastikan sama ada ia berlaku dalam ruangan awam atau ruang peribadi. Jika anda nampak jiran anda membuat sesuatu yang tidak baik, maka tanggungjawab anda sebagai jiran ialah menasihati orang itu.

“Jika perkara yang berlaku dalam ruang peribadi melibatkan orang awam, seperti masyarakat mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dan mereka membuat aduan, maka di situlah SOP mula berjalan,” katanya.

Mujahid berkata, SOP bagi penguatkuasaan aktiviti khalwat akan ditambah baik apabila penguatkuasa perlu mengikut prosedur yang ketat sebelum melakukan serbuan.

Katanbya, SOP sedia ada juga telah menetapkan bahawa sebarang serbuan perlu mempunyai bukti kukuh sebelum dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast