Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu berucap pada Seminar UMCEDEL (Hala Tuju Parti Amanah Pasca PRU-14) di Univesiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) tidak ada kena mengena dengan peletakan jawatan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagal Abdullah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, PAN dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) hanya turun berkempen membantu Presiden PKR itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, esok.

“Soal kenapa PH pilih Parlimen Port Dickson, bukan Parlimen Lembah Pantai atau Parlimen Permatang Pauh, itu kena tanya PKR, sebab yang meletak jawatan adalah Ahli Parlimen dari PKR.

“PAN dan parti-parti komponen PH hanya diminta berkempen dan kita turun berkempen,” katanya menjawab soalan peserta pada seminar PRU Ke-14, Gerakan Rakyat Menangkan Pakatan Harapan – Di mana Cendekiawan? Di Dewan Kuliah Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Dalam sesi soal jawab itu, seorang peserta membangkitkan persoalan kenapa PRK diadakan di Port Dickson sedangkan dua Ahli Parlimen PKR iaitu Lembah Pantai dan Permatang Pauh bersedia memberi laluan.

MGF12102018_SEMINAR UMCEDEL_06 (1)
Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu berucap pada Seminar UMCEDEL (Hala Tuju Parti Amanah Pasca PRU-14) di Univesiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OKTOBER 2018

Mengulas lanjut, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu yakin Anwar akan menang besar pada PRK esok.

Sementara itu berlaku sedikit ketegangan dalam sesi soal jawab itu apabila seorang peserta yang mendakwa penganalisis dan wartawan, Fahmi Faiz menyuarakan tidak puas hati terhadap Mat Sabu kerana tidak menjawab soalannya.

Beliau meminta Menteri Pertahanan itu menjelaskan dakwaan Bersih 2.0 menerima dana yang besar dari Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menjawab soalan itu Mat Sabu berkata, kerajaan PH yang boleh menjawab dan beliau tidak mempunyai maklumat itu.

Katanya, pendirian PAN adalah jelas untuk menolak rasuah dan jika ada unsur itu dalam parti PH rakyat tahu untuk menghukumnya.

Moderator yang mengendalikan sesi soal jawab itu, Dr Mazlan Ali turut terkena ‘pukulan’ Fahmi yang mengelarnya Prof Kampung, apabila beliau cuba mengalihkan jawapan Mat Sabu.

“Saya tanya apakah tindakan PH apabila Bersih 2.0 menerima dana dari luar, sedangkan PH beriya-iya menolak rasuah. Yang Berhormat tidak menjawab soalan saya.

“Kamu (Dr Mazlan) sepatutnya tahu soalan saya, bukan cuba mengalihkan jawaban. Kamu memang Prof Kampung,” katanya sambil berlalu keluar dari bilik kuliah seminar.

Tatkala itu, kedengaran suara-suara dipercayai penyokong Mat Sabu yang menyindir Fahmi kenapa keluar.

“Kenapa lari (keluar), tunggulah (Mat Sabu) jawab,” kedengaran suara dari celah-celah peserta, yang kebanyakannya adalah penuntut UM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast