Pengerusi, Kamari Zaman Juhari berkata unjuran itu adalah berasaskan prestasi Co-opbank Pertama sehingga September 2018.
“Kita berada di landasan untuk membayar dividen pada kadar tersebut. Ia merupakan peningkatan yang ketara daripada 8.5 peratus pada 2017,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, kadar dividen 2018 akan diumumkan pada suku kedua 2019 semasa mesyuarat agung koperasi itu.
Mengulas mengenai nama baharu iaitu Co-opbank Pertama, Kamari Zaman berkata, ia susulan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mendaftarkan pindaan undang-undang kecil Co-opbank Persatuan.
Pindaan itu, berkuat kuasa 13 Sept, 2018, telah diperakui SKM mengikut Seksyen 18(3) Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
“Pindaan undang-undang kecil berkenan bertujuan memperkukuh kedudukan Co-opbank Pertama selaras dengan visi untuk menjadi sebuah bank koperasi syariah yang terunggul di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, pindaan berkenaan membolehkan keanggotaan Co-opbank Pertama dibuka kepada individu bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Jumlah bayaran minimum syer anggota Co-opbank Pertama kini telah dinaikkan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi keanggotaan individu, dan RM5,000 daripada RM3,000 bagi keanggotaan koperasi mengikut permohonan keanggotaan baharu berkuat kuasa 13 Sept, 2018.
Co-opbank Pertama kini mempunyai 82,564 anggota individu dan 632 koperasi dengan nilai saham berbaki RM250 juta. – MalaysiaGazette