Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jualan perdagangan borong & runcit mengekalkan momentum pertumbuhan dua digit dengan peningkatan 10.7 peratus kepada RM107.9 bilion.

Pengembangan ini dipacu oleh perdagangan runcit (14.8%) dan kenderaan bermotor (10.6%).

Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks volum perdagangan borong & runcit berkembang 10.5 peratus kepada 174.4 mata pada bulan Ogos 2018 berbanding bulan yang sama setahun lalu.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disokong oleh Perdagangan Runcit (13.9%). Bagi indeks volum pelarasan musim, ianya meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurutnya, nilai jualan Perdagangan Borong mencatatkan pertumbuhan 7.4 peratus kepada RM50.9 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Bulan ke bulan, subsektor ini meningkat 3.6 peratus.

Indeks volum perdagangan borong meningkat 7.1 peratus kepada 181.5 mata pada Ogos 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum pelarasan musim bagi subsektor ini berkembang 2.2 peratus.

Pada bulan rujukan, jualan Perdagangan Runcit tumbuh lebih laju untuk merekodkan 14.8 peratus berbanding 13.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Pengukuhan ini diungguli oleh jualan di kedai pengkhususan, jualan di kedai bukan pengkhususan dan jualan di kedai khusus yang menjual peralatan komunikasi & maklumat.

Ini selari dengan pengguna yang mengambil peluang daripada tax holiday. Bulan ke bulan, jualan subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif 0.1 peratus.

Indeks volum perdagangan runcit merekodkan kadar pertumbuhan 13.9 peratus kepada 180.3 mata, tertinggi pernah dicapai semenjak Mac 2015 (13.0%).

Manakala bagi indeks pelarasan musim, ianya meningkat 1.4 peratus.

Tambahnya, jualan kenderaan bermotor terus merekodkan pertumbuhan dua digit bagi tiga bulan berturut-turut, mencatatkan 10.6 peratus pada Ogos 2018 dengan nilai jualan sebanyak RM13.5 billion.

Peningkatan dalam nilai jualan ini disebabkan terutamanya oleh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan berkadar sifar sebelum pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 1 September, 2018.

Indeks volum Kenderaan Bermotor meningkat 10.3 peratus kepada 139.5 mata berbanding setahun yang lalu. Bagi perbandingan antara bulan, indeks volum pelarasan musim subsektor ini menurun 1.8 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast