Zuraida
Zuraida Kamaruddin. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menghapuskan sistem kuota perumahan Bumiputera, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Jelas beliau, tujuan kajian keseluruhan kuota khusus untuk penjualan hartanah Bumiputera yang tertakluk kepada perumahan mampu milik semata-mata untuk menangani lambakan rumah yang tidak terjual.

“Perkara ini bukanlah satu perkara yang baharu, malah permasalahan unit tidak terjual tetapi rumah sudah siap dibina turut diberikan perhatian serius oleh beberapa pihak kerajaan negeri yang menyaksikan hal ini sebagai satu trend yang amat membimbangkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kementerian tersebut mahu menghapuskan sistem kuota susulan cadangan kajian semula berkenaan.

Tambahnya, kajian itu akan meneliti kelemahan pelaksanaan sistem kuota termasuk faktor yang menyebabkan unit terbabit tidak mendapat sambutan.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Zuraida berkata, penelitian semula perlu dilakukan terhadap faktor yang menyebabkan kelemahan golongan Bumiputera dalam memanfaatkan sistem kuota berkenaan.

“Bagi penyelesaian jangka pendek khusus untuk rumah-rumah yang telah siap dibina, mungkin perlu diwujudkan satu mekanisme pelepasan yang lebih efektif bagi memastikan rumah berstatus kuota Bumiputera dilepaskan ke pasaran terbuka setelah memberi peluang yang cukup untuk golongan Bumiputera memilikinya,” tambahnya.-MalaysiaGazette