Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr. A. Xavier Jayakumar bersama Menteri Wilayah, Khalid Samad melihat peta sungai di kawasan Lembah Klang sebaik tiba pada Majlis Pelancaran Aplikasi River Of Life Citizen's Eye sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Pejabat Lembangan Sungai Kelang (PLSK), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – “Jangan menyalahkan orang lain terutamanya warga asing apabila sungai di negara ini tercemar,” demikian kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Sebalinya beliau berkata, rakyat Malaysia perlu tunjuk contoh yang baik kepada warga asing dengan tidak lagi menjadikan sungai sebagai tapak pembuangan sampah.

“Kita tak boleh salah orang asing, kalau kita amal budaya jaga kebersihan, mereka juga akan ikut. Kalau mereka nampak orang kita campak sampah dalam sungai dan parit, mereka pun ikut.

“Bila mereka datang (Malaysia) keadaan memang tak bersih, jadi kita kena tunjuk contoh, jangan salahkan orang lain, kita tunjuk contoh baik, semua orang akan ikut.

Kalau orang asing pergi ke London atau Jepun dia tak buang sampah di tepi jalan sebab orang sana memang jaga kebersihan.

“Kalau pergi ke Singapura, mereka tak akan buang sampah dalam sungai kerana rakyat Singapura sendiri tak buang sampah, jadi kita jangan salahkan orang lain, kita betulkan diri sendiri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kebanjiran warga asing antara punca utama sungai-sungai yang merentasi ibu negara tercemar akibat pembuangan sampah yang tidak terkawal.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan mengedar brosur pelbagai bahasa bagi mendidik warga asing menjaga kebersihan ketika berada di negara ini.

“Kita telah mengambil satu langkah untuk ajar mereka juga. Mereka datang dari negara-negara maju seperti Bangladesh, Indonesia, India, Vietnam dan sebagainya.

“Kita telah lakukan usaha dan cetak brosur dalam bahasa mereka untuk beri pemahaman kepada mereka atas isu-isu kebersihan di sekitar tempat mereka duduk dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast