PNB
Permodalan Nasional Bhd.

KUALA LUMPUR- Arahan penjualan aset syarikat milik kerajaan untuk membayar hutang negara tidak akan melibatkan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua yang membetulkan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini berkata, walaupun PNB ditubuhkan dan diuruskan oleh kerajaan, dana dan pelaburannya adalah milik pemegang unit sepenuhnya.

“Pada Selasa, 9 Oktiber 2018, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucaptamanya di persidangan Malaysia: A New Dawn mengumumkan kerajaan mungkin terpaksa menjual aset-aset bernilai untuk membayar hutang.

“Saya telah memberi penjelasan lebih lanjut semasa sesi perbincangan selepas itu dengan mengatakan penjualan aset bukan teras itu akan dibuat melalui entiti-entiti seperti Khazanah atau PNB.

“Saya ingin membuat penjelasan dan pembetulan mengenai kenyataan tersebut, ia tidak akan melibatkan PNB.

“Ini kerana dana dan pelaburan PNB dimiliki oleh pemegang unit dan bukannya kerajaan.

“Kekeliruan yang tidak disengajakan itu sangat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ditubuhkan pada 17 Mac 1978, PNB yang dimiliki oleh Yayasan Pelaburan Bumiputera adalah salah satu pemacu Dasar Ekonomi Baru dalam menggalakkan pemilikan saham sektor korporat dalam kalangan Bumiputera dengan peranan utama adalah untuk menilai, memilih dan memperoleh portfolio saham-saham kukuh dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai potensi pertumbuhan.

Sebagai sebuah organisasi yang mengkhususkan dalam bidang pelaburan, PNB pada dasarnya bertindak sebagai gudang di mana pemilikan saham di dalam syarikat-syarikat berhad ini ditempatkan dalam dana amanah dan dijual kepada pemegang unit dalam bentuk unit-unit yang lebih kecil.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast