Tajuddin Abdul Rahman
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menemplak Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua ekoran membuat kenyataan tertentu membabitkan kerajaan.

Menurut Tajuddin, sebagai setiausaha politik, Pua tidak mempunyai hak untuk bercakap mengenai sesuatu perkara dalam kerajaan mendahului menteri.

“Saya nak bertanya kepada timbalan menteri, apa kuasa yang ada kepada setiausaha politik ni?

“Dia kata projek MRT underground nak dibatalkan ditender semula. Siapa dia ni,” soalnya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika mencelah hujah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Mohd Radzi ketika menjawab pertanyaan itu berkata, kenyataan Pua berkaitan penjualan aset Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Saya ambil maklum kenyataan (anggota Parlimen) Damansara tapi itu pendirian beliau dan bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Kerajaan sedang melihat penjualan aset kalau diperlukan. Tidak guna buat spekulasi berdasarkan kenyataan setiausaha politik menteri kewangan. Kita tunggu kenyataan kerajaan,” ujarnya.

Minggu lalu, Pua berkata PNB dan Khazanah telah disemak semula dan terdapat rancangan mencairkan “aset-aset tidak strategik” sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan mengurangkan hutang negara.

Bagaimanapun semalam beliau membetulkan kenyataan itu dengan berkata, PNB tidak akan terjejas kerana dana dan pelaburannya dimiliki pemegang saham, bukan kerajaan. – MalaysiaGazette