KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan untuk melengkapkan aktiviti naik taraf Unifi ini menjelang Mac 2019.

Setakat ini, TM telah selesai menaik taraf hampir 50 peratus daripada lebih 340,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan liputan Unifi kepada perkhidmatan Unifi pada harga yang sama dengan pelan langganan sedia ada mereka.

Baki 170,000 pelanggan Streamyx yang masih belum menyertai komuniti Unifi digalakkan agar mengambil peluang ini untuk mendapatkan naik taraf percuma.

Menurut TM, pihaknya komited untuk terus melabur dalam teknologi yang bersesuaian bagi membawakan kepada mereka sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Sementara itu, di kawasan yang tiada halangan teknologi, TM akan menggandakan kelajuan Streamyx pada harga yang sama dengan pelan jalur lebar sedia ada mereka.

Hampir 180,000 pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan-kawasan bukan Unifi boleh menantikan naik taraf secara percuma ini, katanya sambil mensasarkan untuk melengkapkan aktiviti naik taraf menjelang Disember 2018.

Para pelanggan Streamyx yang layak menerima naik taraf kepantasan akan terus dihubungi menerusi emel dan panggilan telefon.

Dalam pada itu, TM berkata, sesi perbincangan dengan kerajaan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia masih diteruskan bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh para pelanggan Streamyx dengan berkesan.

Menurutnya, TM memainkan peranan aktif dalam dialog dan perbincangan berterusan dalam industri ke arah membina sebuah negara digital yang lebih seimbang dan inklusif, selari dengan visinya untuk membawakan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan liputan lebih meluas di seluruh negara.

Katanya, syarikat itu sentiasa melabur dalam infrastrukturnya sejak sekian lama bagi menyediakan sambungan dan juga untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan-pelanggan unifi dan Streamyx.

Jelas TM, rangkaian tembaga merupakan rangkaian legasi dan sentiasa mengalami pelbagai cabaran, terutamanya keterbatasan dari segi teknologi.

Keterbatasan ini lebih ketara untuk pelanggan Streamyx, yang mana hanya ia mampu memberikan kelajuan sehingga 8Mbps.

“Ia memerlukan penyelesaian yang lebih berbentuk jangka panjang dan lebih kekal, yang pastinya akan mengambil masa untuk dilaksanakan serta mempunyai implikasi kewangan yang ketara,” tambah TM.

TM mengharapkan pendekatan menang-menang secara kolaboratif dengan kerajaan dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pelanggan Streamyx secara efektif, sehingga selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast