KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan untuk menghidupkan semula projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia-Singapura tidak sesuai sekarang berdasarkan situasi fiskal negara.
Bagaimanapun, beliau pada masa yang sama yakin Menteri Besar Johor, Osman Sapian akan membangkitkan cadangan tersebut di peringkat Persekutuan sebelum sebarang keputusan mengenai keperluan jambatan tersebut dipertimbangkan.
“Bila sudah terima cadangan barulah menteri akan lihat perkara ini sama ada kita ada kapasiti pada masa ini untuk terus projek atau kita boleh pertimbangkan bila situasi yang sesuai,” katanya.
Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Osman yang tidak menolak projek kontroversi jambatan bengkok itu dihidupkan semula.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah projek yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat seperti pembinaan hospital, sekolah dan jalan raya dan dalam masa yang sama kerajaan juga perlu mempertimbangkan kedudukan kewangan dalam melaksanaan suatu projek.
Menteri Besar Johor itu kelmarin memberitahu bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang menyuarakan cadangan untuk melaksanakan semula projek itu.
Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah inspirasi Dr Mahathir.
Mengikut perancangan asal, jambatan bengkok sepanjang 1.4 kilometer sepatutnya dibina bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang sudah digunakan sejak tahun 1923. – MalaysiaGazette