KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ketidakpedulian kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap isu alam sekitar menyebabkan banyak kawasan tadahan hujan dan bukit bukau telah dimajukan dengan rakus.
Katanya, Pulau Pinang telah mengalami banjir lebih 100 kali di antara 2013 dan 2017.
“Ini soal nyawa. Sampai bila nak pejam mata biarkan ini berterusan?
“Sedih saya baca kejadian tanah runtuh baru-baru ini di Pulau Pinang. Takziah kepada keluarga mereka yang telah terkorban,” katanya dalam Facebook rasmi beliau hari ini.
Najib merujuk kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan lebuh raya berkembar bernilai RM545 juta di Jalan Bukit Kukus, yang menghubungkan Paya Terubong ke Relau, mengakibatkan 2 orang maut, 1 cedera dan sekurang-kurangnya 10 orang tertimbus di bawah timbunan tanah runtuh.
Setakat ini, dua mayat ditemukan dan berjaya dibawa keluar.
Menurut Najib, semasa beliau membuat lawatan ke negeri itu semasa menjawat jawatan Perdana Menteri, Najib berkata, banyak penduduk Pulau Pinang yang menyatakan kebimbangan mereka mengenai keadaan alam sekitar di Pulau Pinang.
Ini kerana banjir semakin kerap berlaku, malah ada kawasan yang tak disangka-sangka berlaku banjir saperti di Balik Pulau.
“Di antara 2008 hingga 2017, lebih 30 projek “hillslope” telah diluluskan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang, walaupun kebanyakan pembangunan itu telah ditentang oleh NGO-NGO alam sekitar.
“Oleh sebab itulah, dalam TN50 yang dirangkakan dahulu, bagi Pulau Pinang, antara perkara yang diberi perhatian adalah supaya keadaan alam sekitar negeri dipelihara lebih baik dan sempurna,” katanya lagi. -MalaysiaGazette