Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC

RIYADH – Akhirnya Arab Saudi mengesahkan wartawan Jamal Khashoggi dibunuh.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir memberitahu, tindakan itu ternyata salah namun menafikan perlakuan itu dipengaruhi oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Selama dua minggu lalu Arab Saudi diberi tekanan untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku kepada Khashoggi.

Khashoggi dilihat kali terakhir memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu bagi urusan perkahwinannya.

Bagaimanapun Arab Saudi pada awalnya memaklumkan wartawan itu telah meninggalkan bangunan tersebut.

Arab Saudi mengakui Khashoggi mati selepas terlibat dalam pergaduhan.

al-Jubeir menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan.

“Kami bertekad untuk mengetahui semua fakta dan kami bertekad untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan ini.

“Individu yang melakukan ini di luar skop kuasa mereka. Terdapat jelas kesilapan yang dibuat dan apa yang memburukkan lagi kesilapan adalah percubaan untuk cuba menutup kes ini,” katanya.

Menteri itu menyatakan bahawa mereka tidak tahu di mana mayat Khashoggi.

Buat masa ini Arab Saudi telah menahan 18 orang, memecat dua pembantu Mohammed bin Salman dan menubuhkan sebuah badan, di bawah kepimpinannya, untuk melakukan rombakan dalam agensi perisikan susulan kejadian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast