KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam kenyataan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang yang majikan mungkin memilih untuk mengambil pekerja yang tidak berumahtangga selepas pindaan Akta Kerja 1955.
Kata Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon ia merupakan satu bentuk diskriminasi kepada kaum wanita dan dalam masa yang sama melanggar piawaian Buruh dan Hak Asasi Manusia.
“Dalam kata lain, syarikat akan menggunakan hanya wanita yang tidak berkahwin. Adakah dia juga mencadangkan bahawa wanita-wanita yang tidak berkahwin ini akan kekal tidak berkahwin selama-lamanya?
“Sebarang persepsi mengenai kemungkinan bahawa wanita yang sudah berkahwin dan hamil tidak akan diupah adalah tidak berperikemanusiaan, diskriminasi dan melanggar semua piawaian Buruh dan amalan baik antarabangsa dan juga asas-asas Hak Asasi Manusia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Solomon, beberapa negara luar tidak mendiskriminasi golongan ibu bersalin sebaliknya memberikan tempoh bercuti yang lama berbanding Malaysia.
“Sebagai contoh, China menyediakan cuti bersalin 98 hari dan India 182 hari (26 minggu). Iran menawarkan 90 hari dan Singapura 112 hari dan mereka tidak mendiskriminasi wanita berkahwin atau mengandung,” tambah Solomon.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Michael pemindaan undang-undang oleh kerajaan yang mewajibkan cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja akan mengakibatkan perusahaan tertentu mengalami peningkatan kos dan pengurangan daya pengeluaran.
Justeru, katanya, berkemungkinan majikan tidak akan mengambil risiko untuk mengambil pekerja yang sudah berkahwin khususnya wanita.
Tidak mempunyai pertimbangan kemanusiaan, justeru Solomon menyarankan kerajaan persekutuan menganjurkan kursus kepada para peniaga.
“Kini jelas bahawa terdapat keperluan untuk komuniti perniagaan menjalani satu siri kursus hak asasi manusia dan kursus ibu bapa kerana mereka taksub dengan memperkayakan diri mereka bahawa mereka telah melupakan sepenuhnya tentang ibu dan keluarga.
“MTUC akan menasihatkan bahawa hanya patut kerajaan berhenti memanjakan komuniti perniagaan dan mula menjalankan kursus dan memberi mereka ruang untuk memahami nilai-nilai manusia,” jelasnya.-MalaysiaGazette