Yang Dipertua Gabungan Teksi Semalaysia, Kamarudin Mohd Hussain (tiga kiri) bergambar bersama beberapa wakil pemandu teksi selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) berhubung isu persaingan perkhidmatan antara teksi dan grab di Menara SSM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi Semalaysia (GTSM) hari ini memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung insiden 10 pemandu teksi yang berkelakuan biadab semasa majlis dialog dengan komuniti itu di Langkawi, minggu lalu.

Yang DiPertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, tindakan mereka sebenarnya tidak berniat bersikap biadab dengan Perdana Menteri sebaliknya kecewa dengan jawapan retorik daripada pihak kerajaan.

“Besar kemungkinan pemandu teksi yang bertindak beremosi itu mungkin mereka kecewa dengan jawapan Perdana Menteri.

“Saya yakin mereka tidak berniat untuk berkelakuan biadab, kalau mereka duduk lama dalam majlis itu, mungkin akan jadi lebih marah dan sebab itu mereka keluar,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara SSM, hari ini.

Ahad lalu, majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi bertukar kecoh apabila 10 ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak.

Pemandu teksi
Kelihatan deretan teksi diparkir sambil menunggu para pelanggan yang semakin kurang menggunakan perkhidmatan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

Tindakan 10 pemandu teksi terbabit didakwa kerana tidak setuju dengan pandangan Perdana Menteri berhubung perkhidmatan e-hailing, Grab.

Insiden itu telah menyebabkan Dr Mahathir berkecil hati menyebabkan Ahli Parlimen Langkawi itu berhasrat meletakkan jawatannya dalam Kabinet.

Kamarudin juga mendakwa, Perdana Menteri tidak pernah melabelkan 10 pemandu teksi terbabit sebagai biadab, sebaliknya gambaran itu hanya digunakan pihak media untuk mensensasikan insiden itu.

“Saya menafikan dakwaan yang Perdana Menteri menyifatkan pemandu teksi ini biadab, sebenarnya perkataan biadab itu diguna pakai oleh pihak media untuk mensensasikan kejadian itu.

“Saya memohon maaf kepada Perdana Menteri dan kami yakin seluruh pemandu teksi tidak pernah menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengancam untuk mengadakan perhimpunan dan membakar teksi bagi mendesak Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.

“Sebenarnya ia hanya satu dakwaan palsu dan berniat jahat dan kita sudah siasat perkara itu dan ia tidak wujud di mana pertubuhan itu tidak wujud dan nama individu yang mendakwa itu pun tidak wujud. – MalaysiaGazette

‘Kalau tak nak saya jadi PM, hari ini pun saya letak jawatan’ – Mahathir

MOT didesak tarik lesen PSV pemandu biadab

Menteri Kabinet lahirkan rasa kesal tindakan biadab pemandu teksi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast