KUALA LUMPUR – Jualan rokok di zon bebas cukai seperti di Langkawi, Labuan dan Tioman perlu ditamatkan bagi membendung sumber aktiviti penyeludupan roko haram di negara ini.

Pulau-pulau bebas cukai itu sebelum ini telah diakui oleh kerajaan terdahulu sebagai sumber penyeludupan rokok namun cadangan untuk mengharamkan rokok bebas cukai  gagal dilaksanakan.

Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam laporannya berkata, kerajaan Pakatan Harapan harus mengharamkan penjualan rokok bebas cukai dan ia boleh dikembalikan semula seiring dengan peningkatan penguatkuasaan.

Dalam laporan bertajuk “Countering Illicit Trade: Lessons from Abroad”, IDEAS menambah, kerajaan juga perlu berhenti menaikkan cukai eksais ke atas tembakau dan mempertimbang menyemak regim cukai semasa.

“Kenaikan berganda cukai rokok hanya mengakibatkan peningkatan penyeludupan rokok haram.

“Kerajaan tidak perlu menaikkan harga lagi dan sebaliknya mengkaji semula rejim cukai yang sedia ada berdasarkan pengalaman di negara lain, seperti Kanada dan Pakistan, yang telah berjaya mengurangkan perdagangan rokok haram selepas melakukan reformasi duti eksais,” tambahnya.

Laporan itu turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula polisi penguatkuasaan merentasi pelbagai agensi bagi meletakkan insentif yang betuk dan mengurangkan skop rasuah.

“Terdapat satu siri langkah yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada proses keseluruhan untuk meningkatkan insentif dan mengurangkan skop untuk rasuah, memperkenalkan gaji berasaskan prestasi, dengan ganjaran yang dikaitkan dengan kejutan nilai tinggi, mengautomasikan semua proses di mana mungkin, memperkenalkan proses sekatan yang jelas dan memperkenalkan pusingan kakitangan dalam kedudukan berisiko tinggi,” katanya.

Ia juga mengesyorkan Pasukan Petugas Penyeludupan baharu perlu diwujudkan, yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan dengan penyertaan dari agensi-agensi ini untuk mengawasi pelaksanaan strategi dan memastikan semua agensi menyumbang.

Selain itu, kerajaan perlu bekerjasama dengan sektor swasta, yang mana di bawah strategi ini, kerjasama dengan sektor swasta perlu diperbaiki menerusi penubuhan Jawatankuasa Penguatkuasaan Perdagangan baharu dengan keahlian dari agensi kerajaan dan industri untuk berkongsi maklumat, berunding mengenai dasar dan operasi sokongan baru.

Kerjasama ini termasuk mewujudkan mekanisme rekod kastam, ujarnya.

Kerajaan juga dicadangkan memperkenalkan skim jaminan bank untuk pemindahan antara kapal ke kapal.

Laluan utama untuk produk tidak sah adalah pemindahan pengangkutan – kerajaan memerlukan pengangkut untuk meletakkan jaminan bank sehingga penghantaran di destinasi akhir dapat disahkan supaya dapat mengurangkan impak ke atas perdagangan yang sah.

Ini perlu dilakukan berdasarkan pendekatan berasaskan risiko, yang mensasarkan hanya produk berisiko tinggi, dan pengendali dengan rekod prestasi yang baik dikecualikan.

Selain itu meningkatkan penalti sehingga RM100,000 memandangkan tahap penalti semasa tidak bertindak sebagai penghalang yang mencukupi dan perlu ditingkatkan selaras dengan cadangan dari Kastam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast