Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Segala tuntutan hak Sabah dan Sarawak akan tertakluk kepada kemampuan dan kedudukan hasil Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, selaras dengan Teras 4 Buku Harapan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 September lalu telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 dan membuat pengesyoran kepada Kerajaan Persekutuan berhubung dengan pelaksanaan hak dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan melalui tiga peringkat iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja yang masing-masing dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dan juga dianggotai oleh pakar-pakar bidang
tertentu.

Jawatankuasa itu, katanya, memberi keutamaan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan seperti yang diperuntukkan di sisi undang-undang negara demi menegakkan kedaulatan undang-undang negara, katanya.

“Isu ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan sosio-ekonomi di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berbanding negeri Sabah dan Sarawak akan dapat diberikan penekanan yang lebih serius.

“Ia, sekaligus akan dapat membantu Kerajaan Persekutuan dalam merangkakan pelan pembangunan ekonomi yang lebih holistik, yang mampu merapatkan jurang ekonomi serta adil dan sama rata di antara negeri-negeri Malaysia.

“Akan tetapi, perlu ditegaskan bahawa sebarang cadangan atau formula yang disyorkan mestilah tertakluk kepada kedudukan kewangan yang mengizinkan,” katanya yang menjawab soalan Wong Chen (PKR-Subang) yang meminta kerajaan mengemukakan satu formula perkongsian hasil untuk Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette