Datuk Seri Wee Ka Siong.
Datuk Seri Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat khasnya dari dalam kalangan kerajaan pusat, termasuk Menteri dan Timbalan Menteri, diseru supaya berhenti ‘ambil mudah’ sesi perbahasan di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Itam (BN), Datuk Seri Wee Ka Siong, tindakan acuh tidak acuh wakil rakyat bertaraf Menteri dan Timbalan Menteri bukan sahaja mengecewakan malah mengundang rasa bimbang kerana mereka seolah-olah tidak mendahulukan kepentingan rakyat.

Ka Siong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, budaya ponteng sejak akhir-akhir ini kerap dilakukan, malah ketika sesi berbahas serta soal jawab jarang nampak muka Menteri dan Timbalan Menteri.

“Isu ponteng sesi Dewan terutamanya ketika perbahasan penting seperti usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebenarnya sangat penting.

“Mana hilangnya wakil-wakil rakyat kerajaan ini? Sesi Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebenarnya sangat penting dan perlu diutamakan namun mereka ponteng. Memang saya maklum ada urusan lain yang penting tetapi hantarlah wakil, Timbalan Menteri sekurang-kurangnya.

“Ada juga ramai yang sudah ke luar negara bagi urusan rasmi, pelik betul. Ketika sesi sidang Dewan, tidak sepatutnya anda berada di luar negara. Jika Menteri di luar, Timbalannya perlu ada di sini bagi menjawab bagi pihak.

“Saya juga pernah menjadi Menteri dan Timbalan Menteri, tidak pula kami berkelakuan seperti ini. Martabat Dewan perlu dihormati, ini bukan pasar malam. Hormatlah sikit, kita ada peraturan mesyuarat yang perlu dipatuhi, tolong pandang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen sebentar tadi.

Seperti semalam, kehadiran wakil rakyat semakin hari semakin berkurangkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada mereka yang hadir.

Sesi Dewan kosong

Sebelum ini, Ahli Parlimen Lenggong (BN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah merakam keadaan Dewan Rakyat yang lenggang ketika perbahasan Selasa lepas yang kemudian menjadi tular serta mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.

Masalah kehadiran khususnya melibatkan penyokong kerajaan pernah dibangkitkan semasa Dewan Rakyat bersidang Julai lalu dan mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap Rabu dikatakan menjadi puncanya.

Ka Siong yang juga merupakan Timbalan Presiden MCA berkata, pihaknya menggesa supaya Yang DiPertua Dewan supaya membuat ‘ruling’ tegas berhubung kehadiran wakil-wakil rakyat selepas ini.

“Perjalanan sidang Parlimen perlu berjalan dengan tertib. Tolong pandang serius tentang kehadiran wakil-wakil dan Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat untuk kepentingan mereka,” ujarnya.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff menyifatkan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen sebagai perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara.

Malah, beliau berpandangan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast