KUALA LUMPUR – Nampaknya peringatan Yang di-Pertuan Agong kepada Ahli Parlimen agar tidak ponteng ketika sesi Dewan Rakyat bersidang pada 17 Julai lalu dengan titah “sila duduk, jangan lari..”, langsung tidak diendahkan, terutama oleh Menteri, Timbalan Menteri dan wakil rakyat dari kerajaan.
Sebagaimana semalam, hari ini juga sebahagian besar kerusi kerajaan kosong dan sepi ketika sesi bersidang pada pagi dan tengah hari.
Ini diakui oleh dua Ahli Parlimen dari pembangkang, iaitu Datuk Ahmad Maslan (Pontian-BN) dan Tan Sri Annuar Musa (Ketereh-BN).
Menurut Annuar, hari ini sesi sidang sama seperti semalam, yang mana Menteri dan Timbalan Menteri tidak hadir untuk menjawab soalan lisan mahupun soalan tambahan dari wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berada di luar negara untuk urusan rasmi kerajaan ketika ini.
“Hari ini pun sama juga. Ke mana perginya Menteri dan Timbalan Menteri. Tak (ada) seorang pun berada (datang) di Parlimen.
“PM dan TPM serentak kedua-duanya di luar negara. Menteri pun berlumba-lumba keluar negara.
“Sidang Parlimen ternyata tidak dipedulikan,” luah Annuar menerusi laman Twitter beliau hari ini.
Sementara itu, Ahmad Maslan turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan sikap kerajaan ponteng persidangan.
Katanya, pada jam 11 pagi ini soalan lisan beliau berkaitan ibu pejabat polis hanya dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bukan Menteri Dalam Negeri.
Begitu juga kata beliau, soalan tambahan dari Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk seri Ahmad Zahid Hamidi pula hanya akan dijawab oleh menteri secara bertulis.
“Di Dewan Rakyat (sekarang) tiada seorang (pun) Menteri yang hadir jam 11 pagi hinggakan soalan lisan nombor 13 berhubung ibu pejabat polis dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
“Mereka ni tahu ke kami siapa? Kami YB tau!..” katanya mengajuk kes kejadian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP yang bertengkar dengan penduduk di sebuah taman perumahan di Melaka, baru-baru ini. – MalaysiaGazette