PENGKALAN CHEPA – Pas Perak bersedia membuka ruang seluas-luasnya untuk memulakan rundingan awal dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan muafakat politik demi kesejahteraan negeri serta penyatuan ummah.
Perwakilan Pas Perak, Berhanudin Ahmad berkata, parti itu turut bersedia bermuafakat dengan mana-mana parti politik Melayu Islam khususnya UMNO, sekiranya kerjasama berkenaan mampu memberi manfaat kepada rakyat dan kestabilan politik negeri.
Menurut beliau, perkembangan politik semasa kini menyaksikan perhatian semakin tertumpu kepada kemungkinan kerjasama antara Pas dan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) dengan BN di beberapa negeri.
“Johor sudah selesai, Negeri Sembilan juga sudah selesai, manakala Melaka masih dalam peringkat perbincangan.
“Bagaimana pula dengan negeri-negeri lain seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang dan negeri-negeri SG4? Formula yang akan digunakan di setiap negeri mungkin berbeza mengikut keadaan dan keperluan negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, apa juga formula yang dirumuskan oleh pimpinan kelak perlu berlandaskan semangat penyatuan ummah dengan mengutamakan kepentingan politik Melayu Islam, selain tidak menafikan hak dan kepentingan kaum lain.
Katanya, konsep muafakat yang dibawa Pas bukan bermaksud semua pihak perlu mempunyai pandangan yang sama, sebaliknya bersedia untuk berunding, bertolak ansur dan mencari titik persamaan demi kepentingan bersama.
“Tidak salah kita mengambil sedikit pandangan Aristotle yang menganggap kehidupan bernegara sepatutnya diarahkan kepada kebaikan bersama atau ‘common good’ bukan sekadar kepentingan individu atau golongan tertentu.
“Inilah konsep muafakat yang Pas bawa iaitu memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.
Berhanudin menegaskan, Pas Perak tidak menutup pintu kepada sebarang usaha membentuk kerjasama politik yang dapat memberi kestabilan dan manfaat kepada rakyat negeri itu.
“Oleh itu, Pas Perak bersedia bermuafakat dengan mana-mana parti politik Melayu Islam, terutamanya UMNO, bagi tujuan kesejahteraan politik negeri dan penyatuan ummah.
“Pas membuka ruang seluas-luasnya untuk memulakan rundingan awal dengan UMNO dan Barisan Nasional,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















