Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning di Kelantan dan Terengganu berikutan luruan angin timur laut yang dijangka bertiup kencang pada Isnin ini.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh 29 Oktober hingga 1 November ini.

“Setakat ini kami mengeluarkan notis amaran peringkat kuning dan sekiranya kita menjangkakan hujan lebat berterusan, kita akan naik taraf amaran kepada peringkat cuaca buruk (jingga).

“Jika bertambah lebat dengan dengan jumlah hujan melebihi 240 mm sehari, amaran peringkat bahaya (merah) akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya, amaran peringkat kuning dikeluarkan apabila hujan lebat berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi.

Alui berkata, musim monsun timur laut atau musim tengkujuh pada tahun ini lebih awal berbanding tahun lepas yang berlaku pada awal November dan berubah mengikut dinamik cuaca serta pelbagai faktor lain.

METMalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan musim tengkujuh yang dijangka mengakibatkan hujan berterusan sehingga tempoh lima hari berturut-turut dijangka melanda negara bermula hari ini hingga Mac 2019.

Dalam tempoh tersebut, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku yang bermula di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember tahun ini.

Pada Disember 2018 dan Januari 2019, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta Sabah.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh ini serta sentiasa peka dengan amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysianmet dan MMD Hotline di talian 1-300-22-1MET (1638). – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast