KUALA LUMPUR – Warga Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penderaan (Madpet) menggesa kerajaan mengenal pasti warganya yang sedang menunggu hukuman mati di penjara Singapura.
Wakilnya, Charles Hector berkata, Madpet yang kecewa dengan hukuman yang dikenakan ke atas Prabu N. Pathmanathan semalam meminta Malaysia melakukannya secara proaktif bagi menyelamatkan nyawa mereka daripada menjalani hukuman mati di negara jiran itu.
“Ini adalah keutamaan memandangkan pelaksanaannya diketahui 11 jam sebelum ia dilaksanakan dan ia juga hanya untuk kes tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Prabu menjalani hukuman gantung di penjara Changi pada subuh semalam bagi kesalahan menyeludup dadah.
Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan hukuman itu dijalankan pada 6.23 pagi Jumaat dengan kehadiran wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan anggota keluarga Prabu.
Menurut Charles, bilangan sebenar mereka yang digantung pada tahun ini tidak dapat disahkan memandangkan Singapura terus ‘berahsia’ dan tidak telus dengan datanya.
“Dipercayai negara itu mungkin telah melaksanakan lapan hukuman mati pada tahun ini,” jelasnya.
Tambah beliau, banyak kali ahli keluarga dimaklumkan mengenai hukuman itu beberapa hari sebelum ia dijalankan sehingga menyukarkan peguam bela dan kumpulan-kumpulan yang menentang pelaksanaan hukuman mati.
Katanya, kira-kira 15 buah negara mengenakan hukuman mati berkaitan jenayah dadah, bagaimanapun menurut Amnesty International hanya empat negara melaksanakan hukuman mati terhadap jenayah itu pada 2017, iaitu Singapura, Iran, Arab Saudi dan China.
Pada hakikatnya, tambah beliau, mereka yang menerima hukuman mati kerana mengedarkan dadah bukannya dalang tetapi hanya pesalah tahap bawahan.
“Kebanyakan mereka yang melakukan jenayah ini adalah kerana kemiskinan yang disebabkan kegagalan kerajaan memastikan kesejahteraan penduduknya,” ujar beliau.
Sementaa itu, Charles menggesa Singapura mencontohi Malaysia yang merancang menghapuskan hukuman mati dalam usaha menjadikan rantau ASEAN lebih penyayang dan bertamadun.
Katanya, di Malaysia beberapa Rang Undang-undang akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang sedang berlangsung dan seterusnya memberi kesan kepada keputusan Kabinet untuk menghapuskan hukuman mati. – MalaysiaGazette