P. Waytha Moorthy
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy bercakap kepada media ketika menghadiri Mesyuarat Unit Pembangunan Sosioekonomi bagi Masyarakat India (SEDIC) di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrminasi Kaum (ICERD) tidak akan menjejaskan mana-mana Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 153.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, pihak-pihak yang membuat dakwaan tentang kesan negatif daripada cadangan Pakatan Harapan ini dibelenggu kebimbangan yang tidak berasas kerana ramai yang tidak faham mengenainya.

“Itu semua imaginasi mereka (Mara akan terjejas ditutup). Kerajaan Pakatan Harapan memang komited untuk mempertahankan peruntukan-peruntukan perlembagaan kita.

“Semua cerita ini imaginasi pihak yang mungkin tidak faham. Saya rasa ini adalah satu mungkin tindakan ketakutan yang tidak berasas,” katanya yang menafikan bahawa kedudukan Melayu Bumiputera akan terhapus.

Jelasnya, sebelum mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD kerajaan akan mengambil kira pandangan mana-mana pihak terlebih dahulu.

“Kita akan jumpa semua pihak yang berminat untuk mengemukakan pendapat mereka,” tambahnya.

Terdahulu cadangan ini mendapat pertikaian dan dibantah oleh pihak tertentu yang menyifatkannya akan mematikan Perkara 153 dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Dalam masa sama Waytha berkata, kerajaan akan merujuk kepada Majlis Raja-Raja sekiranya wujud keperluan.

“Kalau perlu dilakukan (rujuk Majlis Raja-raja) saya pasti kerajaan akan dibuat,” ujarnya.

Terbaru, petisyen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) turut diwujudkan dan sedang diviralkan.

Mengikut Artikel 5 ICERD, negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi dalam pelaksanaan hak politik (“Political Rights”).

Ini bermakna parti politik berdasarkan kaum atau bangsa adalah salah dan perlu dihapuskan di bawah ICERD kerana ia mendiskriminasi ahlinya mengikut kaum. -MalaysiaGazette