Datuk Rashid Din
Rashid Din

SHAH ALAM – Fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, berlangsung hari ini di enam daripada 22 cabang di negeri ini.

Enam cabang berkenaan adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi.

Tanjong Karang mempunyai 3,418 anggota, Kuala Selangor (17,737), Ampang (12,626), Pandan (7,017), Shah Alam (9,309) dan Hulu Langat (11,858).

Proses pengundian menggunakan kaedah e-undi itu dijangka bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir 5 petang.

Tumpuan fasa terakhir hari ini sudah pasti kepada persaingan merebut jawatan timbalan presiden antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli, kerana Selangor dikatakan ‘kubu kuat’ bagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Pada dua fasa pemilihan membabitkan 16 cabang sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendahului dengan undian terkumpul sebanyak 14,315 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 12,948 undi.

Mohamed Azmin mendapat sokongan daripada 10 cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara dan PJ Selatan sementara Mohd Rafizi memperoleh sokongan daripada enam cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din berkata, turut menjadi tumpuan pada hari ini adalah pemilihan di cabang Ampang dan Pandan, di mana ‘orang kuat’ Mohamed Azmin iaitu ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menang tanpa bertanding jawatan ketua cabang Ampang.

Cabang Pandan pula menyaksikan saingan merebut jawatan ketua cabang melibatkan Mohd Rafizi dan tiga pencabarnya, yang mana seorang daripada mereka adalah Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Mengenai isu undi ‘hilang’ dalam pemilihan di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini, Rashid berkata pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya seperti memperkemas sistem e-undi itu bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada pemilihan hari ini.

“Jadi pengundi tidak perlu risau (mengenai undi ‘hilang’) sistem pengundian sangat telus, tiada isu kami (JPP) nak sebelahi mana-mana pihak,” katanya kepada Bernama.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata pakar teknologi maklumat mengesahkan 2,000 undi yang ‘hilang’ dalam Pemilihan PKR 2018 di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini disebabkan data tidak dapat disimpan secara ‘cloud’ kerana capaian internet yang lemah.

Rashid juga memberi jaminan bahawa isu kewujudan ‘pengundi hantu’ pada pemilihan di beberapa cabang di Selangor sebelum ini tidak akan berlaku hari ini.

“Sebenarnya tiada isu mengenai ‘pengundi hantu’, banyak orang tidak faham, kita ada sistem ‘Borang 11’ di mana sebelum anggota parti mengundi, mereka perlu isi borang 11. Kita tetap benarkan mereka mengundi tetapi kemudian kita buat saringan dengan rujuk borang 11 itu, jika dia bukan anggota parti kita ‘buanglah undi dia masuk bakul sampah’.

“Mengenai dakwaan ada anggota tentera mengundi pada pemilihan sebelum ini pula, anggota tentera tidak boleh mengundi kerana dia tiada kad pengenalan ‘civilian’ dan untuk mengundi mereka kena ada kad pengenalan ‘civilian’ terlebih dahulu baru dibenarkan mengundi,” katanya menambah petugas turut ditambah bagi mempercepat proses pengundian di setiap cabang.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast