KUCHING – Bila memperkatakan mengenai kain songket, tumpuan umum pasti terarah ke beberapa negeri di Semenanjung seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang tanpa ramai mengetahui bahawa Bumi Kenyalang juga memiliki songket dengan pesonanya yang tersendiri.
Perkara itu diakui oleh pemilik Seri Gedong Songket, Ramtiniwaiti Ramlee, 32, apabila beliau sendiri sering melihat ekspresi sedikit pelik yang ditunjukkan sesetengah mereka dari luar negeri ini apabila dimaklumkan mengenai songket Sarawak.
“Di Sarawak, orang dahulu memanggil songket sebagai ‘kain’, mungkin disebabkan itu songket Sarawak tidak begitu dikenali seperti songket dari beberapa negeri di Semenanjung. Ianya dikenali sebagai ‘kain belatak’, ‘kain penakan’, ‘kain berunei’ dan ‘kain berturus’.
“Namun begitu, songket yang dihasilkan di negeri ini sebenarnya memiliki keunikan tersendiri seperti kelainan dari segi teknik serta motif yang dihasilkan berbanding songket yang dihasilkan di negeri lain, malahan kami di Seri Gedong Songket juga menerima tempahan daripada peminat songket dari Semenanjung,” katanya kepada Bernama.
Ramtiniwaiti, yang memperoleh kemahiran menenun hasil pembelajaran di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Sarawak dan pernah bekerja di Yayasan Tuanku Nur Zahirah, cawangan Sarawak, berkata teknik ‘Sifir Sarawak’ antara perbezaan ketara songket dari negeri ini dengan songket negeri lain.-BERNAMA