HLIB
Hong Leong Investment Bank

KUALA LUMPUR- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mendahului jadual liga agensi penarafan RAM Ratings Services Bhd (RAM) dari segi saiz program bon korporat setakat akhir September 2018 berikutan kejayaannya mengendalikan sejumlah RM28.50 bilion atau 44 peratus daripada RM64.58 bilion bon korporat yang dinilai RAM.

Dalam satu kenyataan hari ini, RAM berkata Public Investment Bank Bhd sebaliknya berada di tempat kedua dengan jumlah RM10 bilion.

“Kategori jumlah urus niaga bon korporat yang mendapat penarafan RAM pula didahului oleh Maybank Investment Bhd (Maybank IB) dengan empat urus niaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) mendahului dari segi nilai program sukuk dengan meraih RM2.95 bilion atau 31 peratus daripada sukuk yang dinilai oleh RAM, diikuti Maybank IB di tempat kedua (RM2.74 bilion) dan seterusnya RHB Investment Bank Bhd (RM2.73 bilion).

“Kesemua bank itu merupakan peneraju bersama dari segi jumlah transaksi urus niaga dengan masing-masing mencatatkan dua urus niaga. Bon korporat cemerlang dalam pasaran domestik pula berjumlah RM648.1 bilion pada akhir September 2018,” kata RAM.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, terbitan kasar bon korporat dan sukuk (termasuk entiti separa kerajaan) berjumlah RM77.2 bilion – kira-kira 9.0 peratus lebih rendah bagi tahun ke tahun.

“Punca utama kadar lebih rendah itu adalah kekurangan terbitan oleh entiti separa kerajaan. Kami masih menjangkakan aktiviti terbitan segmen ini terus suram berikutan pelaksanaan rasionalisasi kos oleh kerajaan ketika ini,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, RAM mengunjurkan pasaran bon korporat mencatat pergerakan stabil bagi tempoh berbaki 2018 dengan pertumbuhannya dijangka ditampung oleh langkah institusi kewangan melaksanakan inisiatif modal tambahan.

“Berdasarkan rancangan sedia ada, kami menyasarkan terbitan bon korporat mencecah paras unjuran sekitar RM90 bilion-RM100 bilion bagi tahun ini,” katanya. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast