KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi global dijangka berkembang 3.7 peratus pada tahun ini dan tahun 2019, lebih rendah daripada unjuran awal 3.9 peratus oleh Tabung Kewangan Antarabangsa.

Unjuran lebih rendah ini menggambarkan peningkatan ketidaktentuan polisi akibat ketegangan perdagangan yang memuncak dan aliran keluar modal dari ekonomi berkembang pesat.

Selain itu, ekonomi global semakin tidak seiring dengan perkembangan ekonomi yang pelbagai dalam kalangan negara maju manakala unjuran bagi ekonomi berkembang pesat terutama Asia terus menggalakkan.

Tinjauan Ekonomi 2019 berkata, Amerika Syarikat dijangka mengalami pertumbuhan kukuh dipacu oleh rangsangan fiskal dan dasar kewangan akomodatif.

Eropah, United Kingdom dan Jepun pula mengalami pertumbuhan sederhana disebabkan permintaan luar yang lebih perlahan dan produktiviti semakin merosot.

Pertumbuhan dalam kalangan ekonomi berkembang pesat terutama Asia yang sedang membangun dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, diterajui oleh India.

China juga dijangka berkembang dengan perlahan berikutan usaha memperketat kawal selia sektor kewangan dan hartanah.

Negara pengeksport minyak pula dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak duunia.

Tinjauan Ekonomi 2019 berkata, aktiviti pelaburan dan industri dijangka perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak, mendorong pengurangan permintaan bagi barangan modal dan pengantara yang menyumbang secara signifikan kepada perdagangan global.

Perdagangan global dijangka berkembang lebih rendah kepada 4.2 peratus pada tahun ini dan 4.0 peratus pada tahun depan berbanding 5.2 peratus pada tahun 2017 berikutan keadaan kewangan lebih ketat, ancaman perdagangan yang semakin meningkat, risiko peralihan ke arah amalan dasar perdagangan dan ketegangan geopolitik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast