KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan asas ekonomi yang kukuh untuk memakmur dan mengembalikan zaman kegemilangan negara dalam tempoh tiga tahun pertama pentadbiran.

Selari dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, tumpuan segera adalah memulihkan semula keyakinan terhadap kerajaan, mewujudkan negara keusahawanan dan mensejahterakan rakyat.

Tinjauan Ekonomi 2019 berkata, usaha akan dipertingkat untuk menangani defisit kepercayaan rakyat, profesional, pihak swasta dan awam terhadap pentadbiran kerajaan.

Tumpuan segera diberikan bagi menangani isu berstruktur dan dasar yang menghalang negara untuk terus maju.

Justeru, prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) akan diguna pakai pada setiap peringkat kerajaan.

Belanjawan 2019 akan memperkenalkan beberapa langkah untuk memperkukuh tadbir urus, memperluas asas hasil negara, menambah baik pengurusan fiskal dan perolehan kerajaan serta menyusun semula peranan syarikat berkaitan kerajaan.

Kementerian dan agensi pula akan diperkemas bagi mengelak pertindihan peranan dan fungsi. – MalaysiaGazette