KOTA KINABALU – Jumlah kiriman wang oleh pekerja asing di Sabah ke negara asal masing-masing meningkat kepada RM6.9 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM5.2 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang, Bank Negara Malaysia, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, pihak BNM juga telah melancarkan e-remittance ataupun kiriman wang secara elektronik bagi kemudahan pekerja asing.

“Ini memudahkan pekerja asing membuat kiriman wang… jadi mereka tidak perlu datang berpuluh-puluh batu ke bandar semata-mata hanya untuk membuat kiriman wang mereka.

“Pada masa ini, kami mendapati lebih 1,600 pekerj asing telah mendaftar secara elektronik dengan pengendali kiriman wang di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Project Greenback 2.0 di Padang Merdeka Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Katanya pada masa ini di seluruh negara, terdapat 35 pengendali kiriman wang dengan 20 daripadanya menggunakan penyaluran kiriman wang secara elektronik.

Pada majlis itu, pihak BNM turut menyerahkan sumbangan RM75,000 kepada Pengerusi Yayasan Mandiri Amal Insani Iwan Rudryana hasil kutipan daripada rakan utama BNM dalam penganjuran program berkenaan. Sumbangan itu untuk membina 25 buah Rumah Siaga Bencana untuk mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia. – MalaysiaGazette