Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam lubang tadahan air dengan kesan tikaman di seluruh tubuh di Ladang Kambau, Kota Tinggi, dua hari lepas.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam lubang tadahan air dengan kesan tikaman di seluruh tubuh di Ladang Kambau, Kota Tinggi, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Kamaluddin Kassim berkata mangsa dikenali sebagai Rizal Muhamad, 38, ditemui oleh seorang kakitangan ladang berkenaan dalam keadaan telentang dalam lubang tadahan air itu yang terletak di tepi ladang tersebut pada 10.30 malam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa yang juga merupakan pekerja di ladang berkenaan adalah seorang penduduk tetap.

“Mangsa ditikam di bahagian belakang badan dan perut manakala kening, bawah leher, perut, bahu, jari serta tangan ada kesan hirisan. Mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun setakat ini tiada saksi kejadian dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA