SEREMBAN – Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang sesat selama kira-kira satu jam ketika mendaki Bukit Melati di Nilai dekat sini semalam, berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Raihan Che Mat berkata, empat mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui kira-kira pukul 7.40 malam.

“Seramai tujuh anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat mendapati kesemua mangsa gagal mencari jalan keluar dan dikhuatiri sesat selepas mendaki bukit berkenaan, namun sejam kemudian mereka ditemui selamat di lokasi ‘check point’ di Cobra Hill dan dibawa turun ke kaki bukit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Raihan berkata kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.  – MalaysiaGazette