Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali. foto FAREEZ FADZIL,
Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR- Rakyat perlu mengubah pemikiran daripada ‘apa yang saya dapat?’ kepada ‘apa yang rakyat Malaysia secara keseluruhan dapat’ ketika membuat penilaian terhadap belanjawan setiap tahun.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, reformasi institusi yang diumumkan kerajaan semasa Belanjawan 2019 baru-baru ini adalah terbaik kerana ianya lebih berintegriti, terbuka dan berkoordinasi.

Jelas beliau, secara umumnya, rakyat Malaysia mengambil mudah tentang banyak perkara terutama berhubung pengangkutan awam, kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Orang Malaysia kena bangun dan sedar. Di Malaysia, semua orang memandang enteng pada harga tambang pengangkutan awam, sektor pendidikan dan kesihatan.

“Ianya sepatutnya percuma atau murah tetapi tiada siapa yang mahu mengambil peranan untuk memastikan kemudahan-kemudahan awam itu dapat memberikan perkhidmatan terbaik (pada harga yang lebih murah atau percuma).

“Kita bukan lagi sebuah negara miskin, kita bakal menjadi negara kaya dan maju jadi sejajar dengan progres gaji yang dinikmati rakyat, masyarakat perlu faham bahawa bukan semua perkara perlu dibebankan ke atas kewangan kerajaan sahaja (melalui pemberian subsidi)” katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis Debat Pasca Belanjawan 2019 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai sasaran pengurusan fiskal defisit iaitu 3.7 peratus pada tahun ini, 3.4 peratus (2019) dan 3.0 (2020), Noor Azlan berkata, sebuah kerajaan yang bertanggung jawab tidak akan membuat belanjawan lebihan ketika persekitaran ekonomi lembap.

“Tiada negara yang mahu belanjawan lebihan ketika ekonomi teruk. Ia perlu belanjawan defisit kerana sebuah kerajaan bertanggung jawab, ia perlu penampan yang cukup untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk,” katanya lagi.

Menurut Noor Azlan, Malaysia selama ini mempunyai rekod menguruskan defisit dengan baik.

Pada krisis kewangan tahun 1997-1998, Malaysia merekodkan defisit fiskal sebanyak -6.7 peratus tetapi ia berjaya diurus dengan baik dan mencatatkan angka yang lebih kukuh pada tahun-tahun seterusnya.

“Jangan hanya memandang defisit adalah buruk dan lebihan adalah benda baik.

“Kita kena tengok, untuk apa defisit itu digunakan, apakah untuk perkara yang baik atau sebaliknya dan yang paling penting, apakah pelan yang telah dirancang untuk menguruskan defisit tersebut.

“Cuma saya harap kerajaan komited di dalam melaksanakan apa yang telah dirancangkan untuk menguruskan defisit,” ujarnya.-MalaysiaGazette